Daisypath Vacation Ticker

Friday, October 10, 2008

kejadian hawa

utusan malaysia-jumaat 10 oktober 2008

(Dan Allah berfirman): Hai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua(buah-buahan) di mana sahaja yang kamu sukai dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu jadilah kamu berdua termasuk orang yang zalim. (al-A'raf:19)
..........................................................................................................................................................................

Walaupun Allah memberi Nabi Adam tempat di dalam syurga yang indah dan makanan yang lazat, tetapi sayangnya Nabi Adam tinggal di syurga seorang diri dan sebatang kara. Setiap hari Nabi Adam melalui hari-hari yang penuh dengan kesepian. Tiada tempat untuknya meluahkan suka,duka, kasih dan sayangnya.
Allah tahu kesepian yang dialami oleh Nabi Adam di dalam syurga yang indah itu.Allah sangat kasihan dan simpati melihat Nabi Adam. Oleh itu, Allah akan mencipta makhluk baru yang sama dengan Nabi Adam, tetapi jenis wanita. Tujuannya ialah menyempurnakan segala kekurangan dan kesepian dalam hidup Nabi Adam.
Makhluk yang diciptakan itu akan menjadi isterinya. Disamping itu juga untuk meramaikan makhluk dimuka bumi bagi membentuk sejarah kebudayaan serta mengembangkan keturunan supaya menjadi lebih besar.
Sedang baginda termenung di bawah sepohon pokok, baginda ternampak sepasang burung sedang bergurau senda. Terdetik dihatinya serta berharap ada seorang teman yang boleh bercakap-cakap dengannya. Sedang asyik baginda memerhatikan burung itu, baginda pun rasa mengantuk dan terus tertidur. Di kala baginda tertidur itulah, Allah telah menciptakan manusia kedua, jenis wanita daripada tulang rusuk pendek yang terdapat di bahagian kiri tubuh Nabi Adam.
Setelah Nabi Adam bangun daripada tidur dan membuka matanya, baginda melihat seseorang berdiri di sisinya. Orang itu tidak pernah dilihat oleh Nabi Adam pun mempersilakannya duduk disampingnya, dan lalu bertanya kepada orang itu, "Siapakah engkau dan siapa namamu?"
Wanita itu pn menjawab, "Aku adalah wanita dan belum tahu akan namaku sendiri."
Adam pun bertanya lagi, "kenapa kamu diciptakan?"
Dia menjawab,"Untuk menenangkan dirimu".
Mendengar kata-kata wanita itu, Nabi Adam sangat suka dan gembira. Nabi Adam pun memberi nama wanita itu 'Hawa'.
Selepas itu, Nabi Adam pun dikahwinkan dengan Hawa sambil disaksikan oleh Allah, para malaikat dan sekelian penghuni syurga. Kedua-duanya hidup bahagia dan girang di dalam syurga yang aman dan tenteram. Mereka boleh makan dan minum sepuas-puasnya kerana segala-galanya sudah tersedia dengan cukup di dalamnya.

(petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd-ditulis dlm Utusan Malaysia, 10 Oktober 2008, Jumaat)


Pengajaran:
  • Sesungguhnya Allah mengetahui segala yang diinginkan oleh manusia. Sentiasalah berdoa dan meminta daripada Allah kerana Dia tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya.
  • Manusia tidak dapat hidup bersendirian. Oleh itu kita hendaklah berganding bahu di antara satu sama lain.


Informasi:

Rasulullah s.a.w bersabda: Peliharalah perempuan-perempuan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk paling bengkok ialah bahagian atasnya. Jika engkau cuba meluruskannya, ia akan patah. Jika engkau membiarkannya, ia tetap bengkok. Oleh itu, peliharalah wanita sebaik-baiknya. (Muttafaq Alaih)

No comments: